Thursday, February 11, 2016

Nasib Rakyat – Siapa bergantung kepada siapa

Aku sudah lama sangat tak menulis di dalam blog ini. Hanya idea-idea bermain difikiran. Tetapi kali ini aku rasa macam terpanggil untuk menulis apabila melihat berbagai-bagai suasana yang tidak elok melanda negara. Terlebih dahulu aku hendak maklumkan bahawa aku bukan terlalu banyak membaca. Mungkin kerana banyak urusan harian. Justeru, jangan kalian semua terlalu banyak mahu aku buktikan dengan fakta. Sememangnya aku tak nafikan, bukti dan fakta itu sangat penting dalam penulisan.

Salah satu perkara yang melanda negara ketika ini adalah krisis kejatuhan matawang yang cukup memberi kesan kepada rakyat. Aku sendiri merasakan itu. Di mana silapnya sehingga kadar inflasi hampir mencapai tahap tertinggi dalam tempoh 3 tahun dan hutang isi rumah di negara ini merupakan yang tertinggi di Asia? Siapa yang mesti bertanggungjawab untuk semua ini? Aku ta nafikan factor ekonomi global menyumbang kepada permasalahan ini. Tetapi bagaimana perancangan negara untuk menghadapi masalah ini. Apakah pemimpin-pemimpin negara masih tidur lena tanpa perlu memikirkan semua ini?

Apakah mereka memahami denyut nadi dan penderitaan rakyat? Aku tengok senang sangat penyelesaian mereka bila menghadapi krisis ini iaitu dengan menaikkan harga barang, mengurangkan subsidi dan mengenakan cukai tak munasabah. Kalau macam ini saja yang dapat mereka lakukan tak payah la berbangga sangat untuk jadi pemimpin. Bila keadaan ekonomi baik pun duit tak ada. Hutang negara masih juga banyak, apatah lagi dengan situasi sekarang. Jadi persoalan sekarang ini apa lagi yang kita sebagai rakyat biasa boleh harapkan dengan pimpinan kerajaan sekarang untuk kelangsungan hidup kita dan generasi anak-anak pada masa akan datang?


Sedarlah wahai bangsaku, bergantunglah pada diri sendiri sekarang ini tanpa mengharapkan apa-apa dari kerajaan. Sedikit demi sedikit aset negara tergadai kepada negara luar angkara ketamakan individu yang kononnya melaungkan ikrar integriti dan sayangkan negara. Aku benar-benar kecewa. Mereka inilah yang diibaratkan seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus tanpa mengetahui ianya sendiri tak boleh berjalan betul. Kemarahan dan kekecewaan aku tidak akan mudah pudar. Tidak seperti sesetengah orang yang cepat reda kemarahannya bila diberikan sedikit ‘gula-gula’bila tibanya pilihanraya lantas terus memuji kebaikan atas pemberian itu tanpa menoleh peristiwa lalu dan bayangan natijah atas pilihan yang telah dibuat usai pilihanraya. Sekali lagi mereka akan disembelih. Inilah orang yang benar-benar bodoh.

Tuesday, June 14, 2011

Pendakian Dua Puncak Pine Tree Hill, Bukit Fraser

Pada 12 Jun 2011 dengan semangat yang berkobar-kobar pukul 5.30 pagi aku dah keluar dari rumah menuju ke pejabat. Selepas solat Subuh di surau pejabat, aku dan kawan-kawan berkumpul sebelum bergerak menuju ke Bukit Fraser. Program pendakian Twin Peak di Fraser Hill ini sebenarnya adalah latihan sebelum kami akan berangkat menawan puncak Gunung Kinabalu pada 23-27 Jun ini. Aku dah lama tak mendaki. Dengan berat badan pun dah naik, pasti sukar untuk buat semua ni. Fitness memang dah out. Tapi tak mengapa. Aku masih ada seminggu untuk kembalikan kecergasan. Sebelum bergerak jauh, kami singgah dulu di Pekan Kuala Kubu Bharu untuk beli sedikit bekalan.  Jalan menuju ke Bukit Fraser sememangnya berliku-liku. Aku biasa dengan jalan naik ke Genting Highland, tapi jalan ke Bukit Fraser ini lebih mencabar. Kalau naik superbike memang layan dia punya corner. Nasib baik tak ada seorang pun yang muntah.

Sampai di Bukit Fraser, aku dan yang lain berhenti dulu di pekan untuk aktiviti, jalan-jalan, ambil gambar dan breakfast, sekali bungkus untuk makan tengah hari masa atas puncak nanti. Suhu boleh tahan juga sejuk.

Pukul 9.30 pagi kami mulakan pendakian. Starting point di pintu gerbang Pine Tree Hill, dekat dengan rumah TNB. Misi untuk mendaki puncak berketinggian 1505 meter akan dimulakan. Sebelum itu ketua kami, saudara Fakhrul Munir telah memberi penerangan ringkas dan aku memimpin bacaan doa memohon agar perjalanan dijauhi segala yang tidak diingini.

Sampai di puncak pertama lebih kurang pukul 11 pagi. Memang teruja juga bila tengok pemandangan dari atas. Subhanallah...

Monday, June 13, 2011

Khutbah Jumaat- Antara Fitnah dan Peringatan

Umum sudah mengetahui bahawa syarat sah solat Jumaat itu salah satunya mestilah dengan adanya khutbah dan terdapat syarat-syarat sah khutbah yang wajib dilakukan oleh khatib tersebut. Aku bukanlah seorang yang pakar dan arif untuk mengulas tentang isu agama seperti ini. Tapi aku punya pemikiran sendiri dan bukanlah terlalu bodoh dalam bab agama. Kalau takat nak imamkan solat subuh dengan bacaan surah Sajadah tu dari UiTM dulu lagi aku dah pimpin. Bahkan semasa di sana lagi aku dah beri khutbah Jumaat.

Di Akhbar Utusan Malaysia hari ini, 14 Jun 2011 aku terbaca di ruangan forum tulisan seorang yang menggelar dirinya 'Jemaah Masjid' dari Klang. Ceritanya berkenaan fitnah-memfitnah, menjerit-jerit, memaki hamun kerajaan sehingga ada jemaah yang tidak tahan meminta khatib berhenti dari berkhutbah sedemikian. Aku berfikir sendirian, "ada juga ke sampai ke tahap macam ni?" Aku pun ada dengar khutbah Jumaat pada 10 Jun 2011 di sebuah masjid senegeri dengan 'Jemaah Masjid'. Memang ia ada kaitan dengan isu yang sedang hangat ketika ini. Tapi tak pula jadi seperti yang saudara 'Jemaah Masjid' tu ceritakan. Tetapi memang berbeza suasananya bila aku tengok sekelian jemaah begitu fokus mendengar jika dibandingkan dengan khutbah-khutbah Jumaat sebelumnya yang agak biasa-biasa saja. Dalam hati aku "ini lah baru betul-betul peringatan". Aku sendiri tak faham kalau perkara sebegitu dikaitkan dengan fitnah. Bagi aku fitnah itu dijelmakan dalam tiga perkara iaitu dengki, dusta dan munafik. Itulah yang biasa terjadi di dalam masyarakat tanpa mengira pangkat dan darjat. Besarnya bahaya fitnah ini hingga boleh mengancam keamanan, memporak-perandakan masyarakat dan institusi keluarga.

Berbalik kepada tajuk asal, aku cuba teliti tiap-tiap perkataan yang diucapkan oleh khatib. Mungkin semua jemaah dapat mengaitkan khutbah tersebut dengan situasi yang benar-benar terjadi. Jika diteliti kefardhuan khutbah itu sendiri yang bertujuan untuk memberi peringatan, pesanan, didikan kepada jemaah supaya terdidik jiwa mereka dengan iman dan amal soleh, apa yang disampaikan oleh khatib tersebut sememangnya bertepatan dan adalah satu ilmu juga peringatan untuk semua jemaah. Khatib tidak mengaitkan nama individu sesiapa pun dalam khutbahnya. Sekiranya saudara yang menggelar dirinya "Jemaah Masjid" melihat perkara ini dari sudut peringatan dan ilmiah, sudah pasti dia akan menerima ini dengan hati yang terbuka dan berwaspada supaya tidak terjebak dengan isu sebegini. Mungkin dia terlebih makan cili sehingga terasa pedasnya. Wallahua'lam...

Musafir Ibu dan Adik ke Tanah Suci

Hari ini 9 Jun 2011, aku bersama keluarga menghantar ibu dan adik ke KLIA untuk menunaikan umrah. Pukul 9 pagi aku dah bergerak dari rumah ke Shah Alam untuk mengambil adik aku yang bongsu. Sebelum ni aku tak rancang pun nak pergi sebab minggu lepas aku dah balik kampung semasa keluarga buat majlis tahlil untuk arwah ayah. Tapi entah kenapa sebelah malam sewaktu mata hampir lena aku terkenang kembali ibuku. Rasa macam ada sesuatu yang tak kena dan tak sempurna kalau aku tak pergi. Aku cuba menyelami hati seorang ibu. "tak boleh jadi, esok aku kena pergi," kataku di dalam hati. terpaksa la aku ambil cuti.

Aku sampai di KLIA pukul 1 petang bersama adik. Ibu dan adik yang bermalam di rumah kakak di Lukut masih dalam perjalanan bersama adik beradik yang lain. Lebih kurang setengah jam menunggu mereka pun sampai. Masa banyak dihabiskan di terminal berlepas sebelum tiba waktu penerbangan pukul 3 petang. Suasana taklah begitu sibuk. Sempat juga aku bermain-main dengan anak-anak buah dan meninjau kawasan sekeliling.

Tatkala waktu berlepas hampir tiba, aku dan yang lain masing-masing mengambil peluang bersalam dan memeluk ibu dan adik. Ibu memang mudah menangis. Aku cuma dapat menahan sebak dengan suasana sebegitu. Entah bagaimana perjalanan ibu dan adik mengerjakan ibadah di sana nanti. Semoga semuanya berjalan lancar dan selamat pulang ke tanah air. Ya Allah, Kau mudahkanlah urusan mereka di sana nanti. Ini adalah kali kedua ibu menjejakkan kaki ke sana selepas mengerjakan ibadah haji 18 tahun lalu bersama arwah ayah. Waktu itu aku masih di tingkatan 1.

Kami semua menunggu, melambai dan memerhatikan ibu dan adik sehinggalah mereka tidak kelihatan lagi. Kemudian barulah kami bergerak pulang. Aku dapat rasakan kepuasan bila menghantar ibu dan adik. Memang tepat keputusan yang aku buat di saat akhir ini. Kesibukan kerja kalau difikir sampai bila pun tak akan habis. Pengorbanan seorang ibu sememangnya patut dikenang dan tiada tandingan. Insya Allah, aku akan cuba sedaya mungkin untuk membahagiakan ibu yang kini tinggal berseorangan di rumah setelah kami semua adik beradik sudah berkeluarga dan bekerjaya. Ibu, engkaulah ratu hatiku...





Friday, May 27, 2011

Mungkin Dia Manusia Yang Paling Jujur Pada Hari Itu

Kisah ini terjadi semasa aku bekerja di Ipoh. Hamba Allah ini kerjanya biasa sahaja. Biarlah aku namakan dia sebagai N. N bekerja sebagai kerani kewangan di sebuah syarikat swasta. Berpewatakan pendiam dan hanya mesra dengan orang yang betul-betul rapat dengannya. Tapi dia bukanlah seorang yang sombong malah ringan tulang walaupun ketika dia sendiri sibuk. Walaupun memiliki ijazah dalam bidang perakaunan, namun kesukaran mendapatkan pekerjaan dan desakan untuk meneruskan kehidupan membuatkan dia mengambil sahaja peluang yang ada. Mungkin rezekinya belum ada untuk menjawat jawatan yang setaraf dengan kelayakannya. Biarlah...sekurang-kurangnya dapat juga membantu orang tuanya di kampung. Tak apalah tak dipandang tinggi di mata orang kerana bukan mereka yang hendak menolong bila mana dia ditimpa kesusahan. Walaupun gaji yang diterima tak seberapa, namun dia tetap bersyukur kerana tidak pernah meminta belas kasihan orang lain. Pergilah dia ke sana ke mari dengan honda cup melakukan urusan kerja.

Salah satu kerja yang biasa dilakukan oleh N ialah membawa tunai atau cek syarikat dia bekerja untuk dimasukkan ke dalam bank. Rutin yang biasanya dilakukan pada waktu petang ketika mana bank hampir menutup waktu operasi bersam pelanggan. Terdapat beberapa staf bank tersebut yang familiar dengan N.


Pada satu hari, seperti biasa N telah pergi ke bank untuk memasukkan tunai majikannya sebanyak RM18,000. Slip bank telah siap ditulis semasa di pejabatnya lagi. Duit yang kebanyakannya note RM50 diikat dengan getah apabila genap RM5000. Baki yang kurang Rm5000 akan diikat juga. Begitulah kebiasaannya untuk memudahkan pegawai bank itu sendiri mengira pada mesin kiraan wang. Wang tersebut biasanya akan disimpan di dalam poket jaket lusuhnya. Jaket itulah yang akan dipakai ke sana ke mari dengan honda cup dia. Ada banyak poket luar dan dalam.

Dipendekkan cerita, setelah selesai urusan di kaunter bank, N pun balik semula ke pejabat. Dalam perjalanan pulang, dia merasakan macam ada sesuatu pada poket bahagian dalam jaketnya. N pun berhenti seketika untuk memeriksa. Dilihat ada lagi seikat wang tunai berjumlah RM5000. N sempat juga berfikir "duit apa pulak ni?" Disemak semula resit bank yang telah dicetak komputer sebagai bukti wang yang dimasukkannya tadi. Cetakannya sama dengan jumlah yang ditulis olehnya. "Alamak! Bagaimana aku boleh terlupa bagi duit ni? Dan satu lagi yang pelik kerani bank tu pun tak cakap apa-apa. Biasanya bukan main teliti lagi diorang kira". Itulah yang bermain di benak fikiran N. Masa semakin suntuk untuk N pergi semula ke bank tersebut. Cepat-cepat N berpatah balik ke sana.

Setibanya di bank, N terus ke kaunter 8 bertemu kerani yang mengira wangnya tadi. Pelanggan pun dah kurang ketika itu. "Puan, boleh tak buat balancing sekarang? Saya rasa puan ada masalah," kata N. Pucat muka kerani berbangsa cina itu bila mendengar kata-kata N . Tanpa berlengah, dikira semula jumlah slip bank yang diterima sepanjang hari tersebut dan dibanding dengan jumlah yang ada pada sistem komputernya. "Alamak, saya kurang Rm5000!!,"kata kerani tersebut setelah selesai membuat balancing. N pun menghulurkan tunai yang ada padanya kepada kerani tersebut. Entah apa tindakan yang akan diambil terhadapnya oleh majikan sekiranya N tidak berbuat demikian. Pastinya dia diminta untuk menggantikan dengan wangnya sendiri dan kemudian mungkin akan dibuang kerja.


Kerani tersebut dengan riak wajah yang cukup lega banyak kali mengucapkan terima kasih pada N di samping ucapan I love you di akhirnya. Setelah selesai N pun beredar untuk kembali ke pejabat. Dalam perjalanan N sentiasa terkenangkan peristiwa itu. Terbit juga rasa bangga pada diri sendiri kerana telah lulus dengan ujian yang diberikan oleh Allah kepadanya. "Mungkin hari ini akulah orang yang paling jujur,"katanya di dalam hati sambil tersenyum. Alamak, ada perasaan ujub pulak dah, astaghfirullah....N beristighfar. Entahlah kenapa N rasa kepuasan yang amat sangat pada hari itu. Mungkin kerana dia telah berjaya melawan hasutan jahat yang ada dalam dirinya supaya mengambil saja wang tersebut. Satu kemenangan besar baginya. Justeru, N layak berperasaan sebegitu.

Di samping itu N juga telah berjaya membeli kepercayaan orang lain apatah lagi dengan bangsa yang berbeza darinya. Pastinya kerani bank tersebut akan mengingati peristiwa itu sampai bila-bila dan akan mengenang N sebagai orang yang boleh dipercayai. Sememangnya ia benar. Setiap kali bertemu dengan N, kerani tersebut akan melemparkan senyuman dan menegurnya. Dia juga akan membantu N mempercepatkan urusan bank ketika ramai pelanggan walaupun N tidak pernah meminta untuk itu.



Begitulah kisah yang aku ingin ceritakan di sini. Kisah yang mempunyai nilai dan ketinggian moral yang mana boleh dijadikan contoh untuk kita semua. Walaupun N menjalani kehidupan yang susah, namun dia masih mempunyai maruah dan harga diri untuk menjadikannya layak dihormati. Dia tidak rela orang lain teraniaya atas kepentingan dirinya sendiri. Memang sukar mencari insan sebegini pada akhir zaman.



Ketika ini N telah pun berhijrah dari Ipoh kerana menerima tawaran bekerja sebagai akauntan sektor awam di Selangor. Jawatan yang sememangnya sesuai dengan kelayakan dan integriti yang ada padanya. Alhamdulillah, Allah telah membukakan pintu rezeki pada N berkat kesabaran dan doanya.



Kesimpulannya di sini, janganlah kita mengambil sesuatu yang bukan hak kerana ianya mungkin akan menindas orang lain. Tanamkanlah sifat dan pekerti mulia di dalam diri kerana membentuknya tidak memerlukan sesen pun tetapi nilainya tidak ternilai dengan wang ringgit. Bersabarlah dengan ujian ketika mana kita susah, kerana Allah bersama dengan orang-orang yang sabar. Untuk N, semoga Allah memelihara dirimu, kehidupanmu, kerjayamu dan beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Wallahua'lam...









Wednesday, September 8, 2010

Sepetang di Kuala Kubu Bharu

Petang semalam lepas habis kerja aku tak tau apa nak buat. Nak kemas barang untuk balik beraya rasa macam awal lagi…lagipun bukan ada apa sangat nak bawak balik. Nak tunggu je sampai time buka puasa rasa lama lak kalau tak buat apa. Nak cuci kereta-esok je la..huhu.. Jadi aku capai la kamera. Nasib baik bateri penuh lagi. Misi aku kali ni nak menghala ke empangan, jalan nak ke Bukit Fraser tu. Kalau ambil gambar suasana petang Ramadhan di pekan KKB ni pun ok jugak…Jadi misi di mulakan lepas selesai Asar pukul 6 petang. Entah berapa lama aku mesti berkhidmat di pekan yang mendamaikan ni pun aku tak tau…Jadi biar la aku rakamkan keindahan pekan kecil Kuala Kubu Bharu dengan deretan bangunan lama yang teguh berdiri dan suasana sekeliling yang begitu mendamaikan. Aku rasa bersyukur bila berada dekat dengan keindahan alam, hijau mata memandang, dan yang paling penting tak ada traffic jam yang cukup membuat aku rimas…cuaca pun redup, memang sesuai untuk aku yang tak tahan panas ni…huhu…

Jadi misi dimulakan. Ambil dulu gambar pejabat...Aku tinggal kat kuarter belakang bangunan ni. Bukan kat atas bukan atas bukit tu yee...

Ni la salah satu sudut jalan di Pekan Kuala Kubu Bharu, Selangor. Kalau terus ke depan akan ke Bukit Fraser, Kuala Lumpur dan Tg. Malim...Jom kita ke depan sikit. Tengok apa pula yang ada...

Jem jugak ye Pekan KKB ni. Mungkin sebab bulan puasa kan! Lagipun Bazar Ramadhan memang terletak di laluan ni, bertentangan dengan bangunan Maybank tu.

Mana nak pi ni? huhuhu...ooooo...tadi kata nak pi empangan. Jadi aku akan ikut arah ke Bukit Fraser. Semakin dekat aku dengan semulajadi, semakin aku menghargai dan memuji kebesaran Ilahi...Subhanallah...

Berhenti sekejap atas jambatan..Empangan dah tak jauh. Sayupnya sungai kat bawah jambatan ni. Kalau tidak, lain kali aku datang boleh terjun mandi. Bestnya...Tapi yang aku tau ada satu air terjun yang best kat sini. Air Terjun Chilling. Tapi leceh sikit la kena masuk tempat tu jalan kaki. InsyaAllah, nanti aku akan pergi juga.

Dah sampai pun. Inilah dia satu lagi tarikan di Kuala Kubu bagi pengunjung dan kaki pancing macam aku ni...

Haaa..ini satu benda yang aku tak pernah tengok kat mana-mana. Walaupun masa aku dekat Gerik pun tak jumpa. Orang datang dengan bawak tong-tong kosong untuk isi air. Aku difahamkan Jabatan Kesihatan dah mengesahkan air yang mengalir tu memang bersih. Kiranya macam tahap mineral water la kot.

Aku dah kembali ke Pekan Kuala Kubu Bharu. Ada masa lagi untuk aku pusing-pusing, ambil gambar sebelum pulang ke rumah untuk berbuka puasa.

Dah pun sampai ke kediaman. Cuaca pun seakan-akan menandakan hujan akan turun malam ni. Syukur aku selamat sampai dan akan berbuka puasa sekejap saja lagi...Allahumma baariklana fi Ramadhan...Adakah aku akan bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang? Entahlah...

Monday, September 6, 2010

Ramadhan Yang Hiba...

Hari ni kat ofis aku la yang paling besar jawatannya. Ewah-ewah..perasannya aku..yang ada cuma aku, kak Jaya dengan Pak Itam. Yang lain pergi AG Shah Alam, pastu terus ke Pedas, Neg. Sembilan lawat keluarga Puan Rozita yang baru kehilangan ibunya semalam. Aku bukannya tak nak pergi, tapi nanti siapa pulak yang nak handle bahagian pejabat. Dengan Komandan aku yang sentiasa outstation. Dengar kata hari ni dia meeting kat Putrajaya. Pastinya Aidilfitri hari Jumaat ni disambut dengan suasana hiba. Takziah untuk Puan Rozita sekeluarga. Semoga roh ibunya ditempatkan bersama-sama dengan orang yang beriman. Aku pun baru lepas kehilangan ayah yang aku cintai pada 2 Jun 2010. Tak sampai 100 hari lagi iddah mak aku.. Bezanya dengan Puan Rozita, selang 3 hari lepas ayah aku meninggal, rumah aku buat majlis kenduri kahwin kakak aku. Majlis yang dibuat sederhana saja..Inilah gambar arwah ayah aku ketika masih sihat.
Ramai orang cakap nasib baik benda tak jadi serentak, kalau tak lagi kalut.. Aku memang tau ayah aku makin nazak. Sebab tu aku kerap balik kampung. Sayu hati aku bila balik ayah hanya terbaring, badan semakin menyusut, makan bersuap, nak bercakap sepatah apa pun tak mampu...
Aku memang tau saatnya hampir sampai tapi entah bila....hinggalah aku terima panggilan dari kakak yang sudah bercuti di kampung dengan suara teresak-esak..."Naim, ayah dah tak ada..."
Terus aku balik Ampang, kemas barang, kemudian balik kampung. Sepanjang perjalanan terkenang semua kenangan aku bersama ayah. Apa yang dapat aku simpulkan, ayah seorang yang tabah membesarkan kami lapan beradik. Inilah gambar terakhir yang dapat aku ambil 8 hari sebelum ayah meninggal. Yang kecik tu anak buah aku yang aku cukup geram bila jumpa dia. huhuhu...Dari kecil aku dah diajar turun ke bendang, merasa sendiri perit jerih hidup sebagai pesawah. Zaman aku kecil dulu mana ada mesin padi lagi. Semua pakai tulang empat kerat ni..bila tengok aku penat je, ayah aku pun mula la cakap, "kalau tak belajar pandai-pandai macam ni la jadinya..." itulah kata-kata yang biasa mak dan ayah aku ulang kat kami adik beradik bila turun ke bendang. Memang perit waktu tu.. Kalau tengok sekarang ni bila aku balik kampung, semua dah moden. Dah tak jumpa pisau pengerat, tong memukul padi, kuku kambing. Ish...dah tak sanggup orang sekarang ni lalui semua tu. Kalau tanya aku pun aku tak nak..Sekarang ni semua tanah kami abang aku yang usahakan. Masa dia muda dulu banyak tempat dia merantau cari rezeki sebab tak nak kerja comot-comot di bendang. Akhirnya ke bendang jugak dia. Tapi sekarang jadi petani moden, siap boleh pakai Vios lagi. Kira ok la tu dok kampung je, dengan slip gaji pun tak ada boleh beli kereta. Memang dari dulu lagi dia mengidam nak beli kereta tu, sekarang tercapai jugak hasrat dia. Siap bank bagi kredit kad lagi kat dia. Terpinga-pinga dia tanya aku, "Awat bank bagi kredit kad ni? Aku tak apply pun!!" Aku cakap "biasa la...dah payment hang ok.. La ni pi dekat bank tu, bagi balik kad kat depa...cakap hang tak mau pakai..."Dah melalut sampai ke sana pulak aku ni...Jadi kepada mereka yang masih mempunyai kedua orang tua, sayangilah mereka seadanya.. Tahun lepas aku dan keluarga sempat beraya bersama ayah tercinta. Tapi Aidilfitri tahun ni, ayah dah tiada lagi. Sayunya hati...Entahlah...