Tuesday, June 14, 2011

Pendakian Dua Puncak Pine Tree Hill, Bukit Fraser

Pada 12 Jun 2011 dengan semangat yang berkobar-kobar pukul 5.30 pagi aku dah keluar dari rumah menuju ke pejabat. Selepas solat Subuh di surau pejabat, aku dan kawan-kawan berkumpul sebelum bergerak menuju ke Bukit Fraser. Program pendakian Twin Peak di Fraser Hill ini sebenarnya adalah latihan sebelum kami akan berangkat menawan puncak Gunung Kinabalu pada 23-27 Jun ini. Aku dah lama tak mendaki. Dengan berat badan pun dah naik, pasti sukar untuk buat semua ni. Fitness memang dah out. Tapi tak mengapa. Aku masih ada seminggu untuk kembalikan kecergasan. Sebelum bergerak jauh, kami singgah dulu di Pekan Kuala Kubu Bharu untuk beli sedikit bekalan.  Jalan menuju ke Bukit Fraser sememangnya berliku-liku. Aku biasa dengan jalan naik ke Genting Highland, tapi jalan ke Bukit Fraser ini lebih mencabar. Kalau naik superbike memang layan dia punya corner. Nasib baik tak ada seorang pun yang muntah.

Sampai di Bukit Fraser, aku dan yang lain berhenti dulu di pekan untuk aktiviti, jalan-jalan, ambil gambar dan breakfast, sekali bungkus untuk makan tengah hari masa atas puncak nanti. Suhu boleh tahan juga sejuk.

Pukul 9.30 pagi kami mulakan pendakian. Starting point di pintu gerbang Pine Tree Hill, dekat dengan rumah TNB. Misi untuk mendaki puncak berketinggian 1505 meter akan dimulakan. Sebelum itu ketua kami, saudara Fakhrul Munir telah memberi penerangan ringkas dan aku memimpin bacaan doa memohon agar perjalanan dijauhi segala yang tidak diingini.

Sampai di puncak pertama lebih kurang pukul 11 pagi. Memang teruja juga bila tengok pemandangan dari atas. Subhanallah...

Monday, June 13, 2011

Khutbah Jumaat- Antara Fitnah dan Peringatan

Umum sudah mengetahui bahawa syarat sah solat Jumaat itu salah satunya mestilah dengan adanya khutbah dan terdapat syarat-syarat sah khutbah yang wajib dilakukan oleh khatib tersebut. Aku bukanlah seorang yang pakar dan arif untuk mengulas tentang isu agama seperti ini. Tapi aku punya pemikiran sendiri dan bukanlah terlalu bodoh dalam bab agama. Kalau takat nak imamkan solat subuh dengan bacaan surah Sajadah tu dari UiTM dulu lagi aku dah pimpin. Bahkan semasa di sana lagi aku dah beri khutbah Jumaat.

Di Akhbar Utusan Malaysia hari ini, 14 Jun 2011 aku terbaca di ruangan forum tulisan seorang yang menggelar dirinya 'Jemaah Masjid' dari Klang. Ceritanya berkenaan fitnah-memfitnah, menjerit-jerit, memaki hamun kerajaan sehingga ada jemaah yang tidak tahan meminta khatib berhenti dari berkhutbah sedemikian. Aku berfikir sendirian, "ada juga ke sampai ke tahap macam ni?" Aku pun ada dengar khutbah Jumaat pada 10 Jun 2011 di sebuah masjid senegeri dengan 'Jemaah Masjid'. Memang ia ada kaitan dengan isu yang sedang hangat ketika ini. Tapi tak pula jadi seperti yang saudara 'Jemaah Masjid' tu ceritakan. Tetapi memang berbeza suasananya bila aku tengok sekelian jemaah begitu fokus mendengar jika dibandingkan dengan khutbah-khutbah Jumaat sebelumnya yang agak biasa-biasa saja. Dalam hati aku "ini lah baru betul-betul peringatan". Aku sendiri tak faham kalau perkara sebegitu dikaitkan dengan fitnah. Bagi aku fitnah itu dijelmakan dalam tiga perkara iaitu dengki, dusta dan munafik. Itulah yang biasa terjadi di dalam masyarakat tanpa mengira pangkat dan darjat. Besarnya bahaya fitnah ini hingga boleh mengancam keamanan, memporak-perandakan masyarakat dan institusi keluarga.

Berbalik kepada tajuk asal, aku cuba teliti tiap-tiap perkataan yang diucapkan oleh khatib. Mungkin semua jemaah dapat mengaitkan khutbah tersebut dengan situasi yang benar-benar terjadi. Jika diteliti kefardhuan khutbah itu sendiri yang bertujuan untuk memberi peringatan, pesanan, didikan kepada jemaah supaya terdidik jiwa mereka dengan iman dan amal soleh, apa yang disampaikan oleh khatib tersebut sememangnya bertepatan dan adalah satu ilmu juga peringatan untuk semua jemaah. Khatib tidak mengaitkan nama individu sesiapa pun dalam khutbahnya. Sekiranya saudara yang menggelar dirinya "Jemaah Masjid" melihat perkara ini dari sudut peringatan dan ilmiah, sudah pasti dia akan menerima ini dengan hati yang terbuka dan berwaspada supaya tidak terjebak dengan isu sebegini. Mungkin dia terlebih makan cili sehingga terasa pedasnya. Wallahua'lam...

Musafir Ibu dan Adik ke Tanah Suci

Hari ini 9 Jun 2011, aku bersama keluarga menghantar ibu dan adik ke KLIA untuk menunaikan umrah. Pukul 9 pagi aku dah bergerak dari rumah ke Shah Alam untuk mengambil adik aku yang bongsu. Sebelum ni aku tak rancang pun nak pergi sebab minggu lepas aku dah balik kampung semasa keluarga buat majlis tahlil untuk arwah ayah. Tapi entah kenapa sebelah malam sewaktu mata hampir lena aku terkenang kembali ibuku. Rasa macam ada sesuatu yang tak kena dan tak sempurna kalau aku tak pergi. Aku cuba menyelami hati seorang ibu. "tak boleh jadi, esok aku kena pergi," kataku di dalam hati. terpaksa la aku ambil cuti.

Aku sampai di KLIA pukul 1 petang bersama adik. Ibu dan adik yang bermalam di rumah kakak di Lukut masih dalam perjalanan bersama adik beradik yang lain. Lebih kurang setengah jam menunggu mereka pun sampai. Masa banyak dihabiskan di terminal berlepas sebelum tiba waktu penerbangan pukul 3 petang. Suasana taklah begitu sibuk. Sempat juga aku bermain-main dengan anak-anak buah dan meninjau kawasan sekeliling.

Tatkala waktu berlepas hampir tiba, aku dan yang lain masing-masing mengambil peluang bersalam dan memeluk ibu dan adik. Ibu memang mudah menangis. Aku cuma dapat menahan sebak dengan suasana sebegitu. Entah bagaimana perjalanan ibu dan adik mengerjakan ibadah di sana nanti. Semoga semuanya berjalan lancar dan selamat pulang ke tanah air. Ya Allah, Kau mudahkanlah urusan mereka di sana nanti. Ini adalah kali kedua ibu menjejakkan kaki ke sana selepas mengerjakan ibadah haji 18 tahun lalu bersama arwah ayah. Waktu itu aku masih di tingkatan 1.

Kami semua menunggu, melambai dan memerhatikan ibu dan adik sehinggalah mereka tidak kelihatan lagi. Kemudian barulah kami bergerak pulang. Aku dapat rasakan kepuasan bila menghantar ibu dan adik. Memang tepat keputusan yang aku buat di saat akhir ini. Kesibukan kerja kalau difikir sampai bila pun tak akan habis. Pengorbanan seorang ibu sememangnya patut dikenang dan tiada tandingan. Insya Allah, aku akan cuba sedaya mungkin untuk membahagiakan ibu yang kini tinggal berseorangan di rumah setelah kami semua adik beradik sudah berkeluarga dan bekerjaya. Ibu, engkaulah ratu hatiku...