Thursday, February 11, 2016

Nasib Rakyat – Siapa bergantung kepada siapa

Aku sudah lama sangat tak menulis di dalam blog ini. Hanya idea-idea bermain difikiran. Tetapi kali ini aku rasa macam terpanggil untuk menulis apabila melihat berbagai-bagai suasana yang tidak elok melanda negara. Terlebih dahulu aku hendak maklumkan bahawa aku bukan terlalu banyak membaca. Mungkin kerana banyak urusan harian. Justeru, jangan kalian semua terlalu banyak mahu aku buktikan dengan fakta. Sememangnya aku tak nafikan, bukti dan fakta itu sangat penting dalam penulisan.

Salah satu perkara yang melanda negara ketika ini adalah krisis kejatuhan matawang yang cukup memberi kesan kepada rakyat. Aku sendiri merasakan itu. Di mana silapnya sehingga kadar inflasi hampir mencapai tahap tertinggi dalam tempoh 3 tahun dan hutang isi rumah di negara ini merupakan yang tertinggi di Asia? Siapa yang mesti bertanggungjawab untuk semua ini? Aku ta nafikan factor ekonomi global menyumbang kepada permasalahan ini. Tetapi bagaimana perancangan negara untuk menghadapi masalah ini. Apakah pemimpin-pemimpin negara masih tidur lena tanpa perlu memikirkan semua ini?

Apakah mereka memahami denyut nadi dan penderitaan rakyat? Aku tengok senang sangat penyelesaian mereka bila menghadapi krisis ini iaitu dengan menaikkan harga barang, mengurangkan subsidi dan mengenakan cukai tak munasabah. Kalau macam ini saja yang dapat mereka lakukan tak payah la berbangga sangat untuk jadi pemimpin. Bila keadaan ekonomi baik pun duit tak ada. Hutang negara masih juga banyak, apatah lagi dengan situasi sekarang. Jadi persoalan sekarang ini apa lagi yang kita sebagai rakyat biasa boleh harapkan dengan pimpinan kerajaan sekarang untuk kelangsungan hidup kita dan generasi anak-anak pada masa akan datang?


Sedarlah wahai bangsaku, bergantunglah pada diri sendiri sekarang ini tanpa mengharapkan apa-apa dari kerajaan. Sedikit demi sedikit aset negara tergadai kepada negara luar angkara ketamakan individu yang kononnya melaungkan ikrar integriti dan sayangkan negara. Aku benar-benar kecewa. Mereka inilah yang diibaratkan seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus tanpa mengetahui ianya sendiri tak boleh berjalan betul. Kemarahan dan kekecewaan aku tidak akan mudah pudar. Tidak seperti sesetengah orang yang cepat reda kemarahannya bila diberikan sedikit ‘gula-gula’bila tibanya pilihanraya lantas terus memuji kebaikan atas pemberian itu tanpa menoleh peristiwa lalu dan bayangan natijah atas pilihan yang telah dibuat usai pilihanraya. Sekali lagi mereka akan disembelih. Inilah orang yang benar-benar bodoh.