Monday, June 13, 2011

Khutbah Jumaat- Antara Fitnah dan Peringatan

Umum sudah mengetahui bahawa syarat sah solat Jumaat itu salah satunya mestilah dengan adanya khutbah dan terdapat syarat-syarat sah khutbah yang wajib dilakukan oleh khatib tersebut. Aku bukanlah seorang yang pakar dan arif untuk mengulas tentang isu agama seperti ini. Tapi aku punya pemikiran sendiri dan bukanlah terlalu bodoh dalam bab agama. Kalau takat nak imamkan solat subuh dengan bacaan surah Sajadah tu dari UiTM dulu lagi aku dah pimpin. Bahkan semasa di sana lagi aku dah beri khutbah Jumaat.

Di Akhbar Utusan Malaysia hari ini, 14 Jun 2011 aku terbaca di ruangan forum tulisan seorang yang menggelar dirinya 'Jemaah Masjid' dari Klang. Ceritanya berkenaan fitnah-memfitnah, menjerit-jerit, memaki hamun kerajaan sehingga ada jemaah yang tidak tahan meminta khatib berhenti dari berkhutbah sedemikian. Aku berfikir sendirian, "ada juga ke sampai ke tahap macam ni?" Aku pun ada dengar khutbah Jumaat pada 10 Jun 2011 di sebuah masjid senegeri dengan 'Jemaah Masjid'. Memang ia ada kaitan dengan isu yang sedang hangat ketika ini. Tapi tak pula jadi seperti yang saudara 'Jemaah Masjid' tu ceritakan. Tetapi memang berbeza suasananya bila aku tengok sekelian jemaah begitu fokus mendengar jika dibandingkan dengan khutbah-khutbah Jumaat sebelumnya yang agak biasa-biasa saja. Dalam hati aku "ini lah baru betul-betul peringatan". Aku sendiri tak faham kalau perkara sebegitu dikaitkan dengan fitnah. Bagi aku fitnah itu dijelmakan dalam tiga perkara iaitu dengki, dusta dan munafik. Itulah yang biasa terjadi di dalam masyarakat tanpa mengira pangkat dan darjat. Besarnya bahaya fitnah ini hingga boleh mengancam keamanan, memporak-perandakan masyarakat dan institusi keluarga.

Berbalik kepada tajuk asal, aku cuba teliti tiap-tiap perkataan yang diucapkan oleh khatib. Mungkin semua jemaah dapat mengaitkan khutbah tersebut dengan situasi yang benar-benar terjadi. Jika diteliti kefardhuan khutbah itu sendiri yang bertujuan untuk memberi peringatan, pesanan, didikan kepada jemaah supaya terdidik jiwa mereka dengan iman dan amal soleh, apa yang disampaikan oleh khatib tersebut sememangnya bertepatan dan adalah satu ilmu juga peringatan untuk semua jemaah. Khatib tidak mengaitkan nama individu sesiapa pun dalam khutbahnya. Sekiranya saudara yang menggelar dirinya "Jemaah Masjid" melihat perkara ini dari sudut peringatan dan ilmiah, sudah pasti dia akan menerima ini dengan hati yang terbuka dan berwaspada supaya tidak terjebak dengan isu sebegini. Mungkin dia terlebih makan cili sehingga terasa pedasnya. Wallahua'lam...

No comments: