Monday, June 13, 2011

Musafir Ibu dan Adik ke Tanah Suci

Hari ini 9 Jun 2011, aku bersama keluarga menghantar ibu dan adik ke KLIA untuk menunaikan umrah. Pukul 9 pagi aku dah bergerak dari rumah ke Shah Alam untuk mengambil adik aku yang bongsu. Sebelum ni aku tak rancang pun nak pergi sebab minggu lepas aku dah balik kampung semasa keluarga buat majlis tahlil untuk arwah ayah. Tapi entah kenapa sebelah malam sewaktu mata hampir lena aku terkenang kembali ibuku. Rasa macam ada sesuatu yang tak kena dan tak sempurna kalau aku tak pergi. Aku cuba menyelami hati seorang ibu. "tak boleh jadi, esok aku kena pergi," kataku di dalam hati. terpaksa la aku ambil cuti.

Aku sampai di KLIA pukul 1 petang bersama adik. Ibu dan adik yang bermalam di rumah kakak di Lukut masih dalam perjalanan bersama adik beradik yang lain. Lebih kurang setengah jam menunggu mereka pun sampai. Masa banyak dihabiskan di terminal berlepas sebelum tiba waktu penerbangan pukul 3 petang. Suasana taklah begitu sibuk. Sempat juga aku bermain-main dengan anak-anak buah dan meninjau kawasan sekeliling.

Tatkala waktu berlepas hampir tiba, aku dan yang lain masing-masing mengambil peluang bersalam dan memeluk ibu dan adik. Ibu memang mudah menangis. Aku cuma dapat menahan sebak dengan suasana sebegitu. Entah bagaimana perjalanan ibu dan adik mengerjakan ibadah di sana nanti. Semoga semuanya berjalan lancar dan selamat pulang ke tanah air. Ya Allah, Kau mudahkanlah urusan mereka di sana nanti. Ini adalah kali kedua ibu menjejakkan kaki ke sana selepas mengerjakan ibadah haji 18 tahun lalu bersama arwah ayah. Waktu itu aku masih di tingkatan 1.

Kami semua menunggu, melambai dan memerhatikan ibu dan adik sehinggalah mereka tidak kelihatan lagi. Kemudian barulah kami bergerak pulang. Aku dapat rasakan kepuasan bila menghantar ibu dan adik. Memang tepat keputusan yang aku buat di saat akhir ini. Kesibukan kerja kalau difikir sampai bila pun tak akan habis. Pengorbanan seorang ibu sememangnya patut dikenang dan tiada tandingan. Insya Allah, aku akan cuba sedaya mungkin untuk membahagiakan ibu yang kini tinggal berseorangan di rumah setelah kami semua adik beradik sudah berkeluarga dan bekerjaya. Ibu, engkaulah ratu hatiku...





No comments: