Friday, May 27, 2011

Mungkin Dia Manusia Yang Paling Jujur Pada Hari Itu

Kisah ini terjadi semasa aku bekerja di Ipoh. Hamba Allah ini kerjanya biasa sahaja. Biarlah aku namakan dia sebagai N. N bekerja sebagai kerani kewangan di sebuah syarikat swasta. Berpewatakan pendiam dan hanya mesra dengan orang yang betul-betul rapat dengannya. Tapi dia bukanlah seorang yang sombong malah ringan tulang walaupun ketika dia sendiri sibuk. Walaupun memiliki ijazah dalam bidang perakaunan, namun kesukaran mendapatkan pekerjaan dan desakan untuk meneruskan kehidupan membuatkan dia mengambil sahaja peluang yang ada. Mungkin rezekinya belum ada untuk menjawat jawatan yang setaraf dengan kelayakannya. Biarlah...sekurang-kurangnya dapat juga membantu orang tuanya di kampung. Tak apalah tak dipandang tinggi di mata orang kerana bukan mereka yang hendak menolong bila mana dia ditimpa kesusahan. Walaupun gaji yang diterima tak seberapa, namun dia tetap bersyukur kerana tidak pernah meminta belas kasihan orang lain. Pergilah dia ke sana ke mari dengan honda cup melakukan urusan kerja.

Salah satu kerja yang biasa dilakukan oleh N ialah membawa tunai atau cek syarikat dia bekerja untuk dimasukkan ke dalam bank. Rutin yang biasanya dilakukan pada waktu petang ketika mana bank hampir menutup waktu operasi bersam pelanggan. Terdapat beberapa staf bank tersebut yang familiar dengan N.


Pada satu hari, seperti biasa N telah pergi ke bank untuk memasukkan tunai majikannya sebanyak RM18,000. Slip bank telah siap ditulis semasa di pejabatnya lagi. Duit yang kebanyakannya note RM50 diikat dengan getah apabila genap RM5000. Baki yang kurang Rm5000 akan diikat juga. Begitulah kebiasaannya untuk memudahkan pegawai bank itu sendiri mengira pada mesin kiraan wang. Wang tersebut biasanya akan disimpan di dalam poket jaket lusuhnya. Jaket itulah yang akan dipakai ke sana ke mari dengan honda cup dia. Ada banyak poket luar dan dalam.

Dipendekkan cerita, setelah selesai urusan di kaunter bank, N pun balik semula ke pejabat. Dalam perjalanan pulang, dia merasakan macam ada sesuatu pada poket bahagian dalam jaketnya. N pun berhenti seketika untuk memeriksa. Dilihat ada lagi seikat wang tunai berjumlah RM5000. N sempat juga berfikir "duit apa pulak ni?" Disemak semula resit bank yang telah dicetak komputer sebagai bukti wang yang dimasukkannya tadi. Cetakannya sama dengan jumlah yang ditulis olehnya. "Alamak! Bagaimana aku boleh terlupa bagi duit ni? Dan satu lagi yang pelik kerani bank tu pun tak cakap apa-apa. Biasanya bukan main teliti lagi diorang kira". Itulah yang bermain di benak fikiran N. Masa semakin suntuk untuk N pergi semula ke bank tersebut. Cepat-cepat N berpatah balik ke sana.

Setibanya di bank, N terus ke kaunter 8 bertemu kerani yang mengira wangnya tadi. Pelanggan pun dah kurang ketika itu. "Puan, boleh tak buat balancing sekarang? Saya rasa puan ada masalah," kata N. Pucat muka kerani berbangsa cina itu bila mendengar kata-kata N . Tanpa berlengah, dikira semula jumlah slip bank yang diterima sepanjang hari tersebut dan dibanding dengan jumlah yang ada pada sistem komputernya. "Alamak, saya kurang Rm5000!!,"kata kerani tersebut setelah selesai membuat balancing. N pun menghulurkan tunai yang ada padanya kepada kerani tersebut. Entah apa tindakan yang akan diambil terhadapnya oleh majikan sekiranya N tidak berbuat demikian. Pastinya dia diminta untuk menggantikan dengan wangnya sendiri dan kemudian mungkin akan dibuang kerja.


Kerani tersebut dengan riak wajah yang cukup lega banyak kali mengucapkan terima kasih pada N di samping ucapan I love you di akhirnya. Setelah selesai N pun beredar untuk kembali ke pejabat. Dalam perjalanan N sentiasa terkenangkan peristiwa itu. Terbit juga rasa bangga pada diri sendiri kerana telah lulus dengan ujian yang diberikan oleh Allah kepadanya. "Mungkin hari ini akulah orang yang paling jujur,"katanya di dalam hati sambil tersenyum. Alamak, ada perasaan ujub pulak dah, astaghfirullah....N beristighfar. Entahlah kenapa N rasa kepuasan yang amat sangat pada hari itu. Mungkin kerana dia telah berjaya melawan hasutan jahat yang ada dalam dirinya supaya mengambil saja wang tersebut. Satu kemenangan besar baginya. Justeru, N layak berperasaan sebegitu.

Di samping itu N juga telah berjaya membeli kepercayaan orang lain apatah lagi dengan bangsa yang berbeza darinya. Pastinya kerani bank tersebut akan mengingati peristiwa itu sampai bila-bila dan akan mengenang N sebagai orang yang boleh dipercayai. Sememangnya ia benar. Setiap kali bertemu dengan N, kerani tersebut akan melemparkan senyuman dan menegurnya. Dia juga akan membantu N mempercepatkan urusan bank ketika ramai pelanggan walaupun N tidak pernah meminta untuk itu.



Begitulah kisah yang aku ingin ceritakan di sini. Kisah yang mempunyai nilai dan ketinggian moral yang mana boleh dijadikan contoh untuk kita semua. Walaupun N menjalani kehidupan yang susah, namun dia masih mempunyai maruah dan harga diri untuk menjadikannya layak dihormati. Dia tidak rela orang lain teraniaya atas kepentingan dirinya sendiri. Memang sukar mencari insan sebegini pada akhir zaman.



Ketika ini N telah pun berhijrah dari Ipoh kerana menerima tawaran bekerja sebagai akauntan sektor awam di Selangor. Jawatan yang sememangnya sesuai dengan kelayakan dan integriti yang ada padanya. Alhamdulillah, Allah telah membukakan pintu rezeki pada N berkat kesabaran dan doanya.



Kesimpulannya di sini, janganlah kita mengambil sesuatu yang bukan hak kerana ianya mungkin akan menindas orang lain. Tanamkanlah sifat dan pekerti mulia di dalam diri kerana membentuknya tidak memerlukan sesen pun tetapi nilainya tidak ternilai dengan wang ringgit. Bersabarlah dengan ujian ketika mana kita susah, kerana Allah bersama dengan orang-orang yang sabar. Untuk N, semoga Allah memelihara dirimu, kehidupanmu, kerjayamu dan beroleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Wallahua'lam...









No comments: